TEST

TEST

SEJARAH

SEJARAH

        Sekolah Kebangsaan Merbau Sempak terletak di Kampung Merbau Sempak dalam Mukim Sungai Buloh, Selangor. Sekolah ini terletak berhampiran dengan persimpangan Lebuh Raya Guthrie ke Shah Alam melalui tol Paya Jaras. Sekolah Kebangsaan Merbau Sempak terletak lebih kurang 500 meter dari jalan raya yang menghubungkan Sungai Buloh dan Kuala Selangor.

Sebelum terbinanya sekolah di kawasan ini, anak-anak di sini terpaksa menimba ilmu di Sekolah Melayu Sungai Pelong yang jaraknya 2.5 kilometer. Pada waktu itu, penduduk tempatan lebih kurang 400 orang terdiri daripada Melayu.  Menyedari betapa pentingnya pendidikan dan untuk memberikan lebih kemudahan kepada warga Merbau Sempak akhirnya terbinalah Sekolah Melayu Merbau Sempak. Sekolah ini telah mula dibina pada awal tahun 1952.

Sekolah Melayu Merbau Sempak didirikan atas sebidang tanah kerajaan Lot No 261, gezet No. 309-53. Terletak berhampiran dengan jalan raya iaitu di Batu 18 Jalan Kuala Selangor.

Tanah ini merupakan kawasan bukit kecil yang diterokai oleh penduduk-penduduk kampung untuk dijadikan tapak sekolah dan rumah guru. Bangunan sekolah ini mula dibina pada awal tahun 1952 dengan bangunan asalnya hanya diperbuat daripada kayu-kayu bulat, berlantaikan simen dan beratap rumbia. Sebuah rumah guru juga turut dibina oleh penduduk kampung. Semua peruntukan untuk membina sekolah ini adalah hasil kerjasama oleh Pejabat Daerah Kuala Lumpur.

Setelah siap dibina, sekolah ini dibuka dan dirasmikan oleh Ketua Kampung Merbau Sempak iaitu Che’ Md. Said bin Zabar pada 2 Februari 1952. Pentadbiran sekolah telah diterajui oleh Che’ Md Kasim bin Ma’amor yang bertindak sebagai guru besar pada ketika itu.

Pada ketika itu, sekolah itu telah dimanfaatkan oleh 64 orang murid dan dua orang guru termasuklah guru besarnya. Setelah Che’ Md Kasim bin Ma’amor bersara pada 15 Januari 1959, beliau telah diganti oleh Encik Monsor bin Mohd Rais. Bermula pada 3 Januari 1959, mata pelajaran Bahasa Inggeris dan mata pelajaran Agama Islam mula diajar pada 3 Januari 1961.

Seiring dengan perkembangan negara pada tahun 1961, Kementerian Pelajaran Persekutuan Tanah Melayu telah membina dua buah bangunan baru bagi menggantikan bangunan lama. Sebuah bangunan siap pada tahun 1961 dan sebuah lagi pada tahun 1962. Sehingga sekarang bangunan itu masih utuh, untuk anak-anak generasi ini menimba ilmu sebagai bekalan pada hari muka.

Ianya telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Menteri Muda Pelajaran, Kapten Abdul Hamid bin Khan pada 29 November 1961. Sekolah yang dulunya dikenali sebagai Sekolah Melayu Merbau Sempak bertukar sebagai Sekolah Kebangsaan Merbau Sempak.

Pada tahun 1981, sebuah lagi bangunan dua tingkat dibina. Ia lengkap dengan sebuah bilik khusus untuk Pusat Sumber. Bangunan kantin baru juga dibina. Semua ini adalah sumbangan daripada pihak kerajaan. Untuk menampung keperluan murid, sebuah lagi bangunan dibina hasil gotong-royong orang ramai dengan peruntukan sebanyak RM 50 000.

Seterusnya pada tahun 1989, PIBG sekolah telah membina sebuah lagi bangunan tambahan yang mengandungi dua buah bilik darjah dengan peruntukan sebanyak RM 15 000. Semua ini adalah sumbangan Yang Dipertua PIBG ketika itu iaitu Tn. Hj. Othman bin Hj. Hassani serta ibu bapa murid-murid. Sekarang sekolah ini telah mempunyai 7 buah bangunan asas. Pada tahun ini, 3 daripada bangunan telah dirobohkan dan digantikan dengan 2 buah bangunan baru 4 tingkat. Projek ini adalah di bawah Rancangan Malaysia ke 9.

Sekolah Kebangsaan Merbau Sempak telah menyambut perayaan jubli perak pada tahun 2005 sebagai tanda menghargai sekolah tercinta ini. Ia telah disambut dalam satu majlis gilang-gemilang. Ini juga adalah untuk menyuntik semangat cintakan sekolah dan rasa bangga dalam jiwa setiap warga Sekolah Kebangsaan Merbau Sempak.








Nama Sekolah :                                                 Sekolah Kebangsaan Merbau Sempak
Alamat Sekolah :                                               40160 Shah Alam
Kod sekolah :                                                     BBA8207
Gred Sekolah :                                                   A
Tarikh Ditubuhkan :                                          28 Mac 1952
Jarak Dari PPDG :                                            20 Km
Jarak Dari JPNS   :                                           24 Km
Keluasan :                                                         6 ekar (2.428 Hektar)
Sesi :                                                                 2 Pagi dan Petang
Lokasi :                                                             Luar Bandar
Daerah :                                                            Gombak
Pusat Kegitan Guru :                                        PKG Kuang
Majlis Tempatan  :                                           Shah Alam
Pentadbiran :                                                    Petaling
Parlimen :                                                         Subang
Dun :                                                                 Paya Jaras













0 comments:

Post a Comment